Persepsi Guru Sains PPSMI Terhadap Masalah Perlaksanaan Pengajaran Subjek Sains
(PPSMI) Di Sekolah Rendah Kawasan Skudai, Johor Bahru.
Aziz Bin Nordin & Yang See Boon
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
Abstrak : Kajian ini bertujuan untuk meninjau persepsi guru sain PPSMI terhadap perlaksanaan
pengajaran matapelajaran sains di Sekolah Rendah di kawasan Skudai, Johor Bahru. Dalam
kajian ini, aspek yang dikaji adalah persepsi guru dari segi faedah, pendedahan maklumat serta
masalah-masalah yang dihadapi. Sampel kajian melibatkan 87 orang guru sains (PPSMI) di
enam belas sekolah rendah di kawasan Skudai, Johor. Instrumen kajian digunakan adalah soal
selidik untuk mendapatkan data. Data mentah dianalisis dengan menggunakan Perisiaan
komputer SPSS 14.0 for window. Peratusan, min dan sisihan piawai dikira. Dapatan kajian
menunjukkan respoden mempunyai persepsi yang rendah terhadap perlaksanaan pengajaran mata
pelajaran sains dalam bahasa Inggeris dari segi pendedahan maklumat dan faedahnya. Masalahmasalah
yang dihadapi pula berada pada tahap sederhana. Perkaitan antara masalah dengan
persepsi guru adalah signifikan.
Katakunci : guru sains, PPSMI
Pengenalan
Proses globalisasi menyebabkan masyarakat seluruh dunia menjadi semakin terhubung dalam aspek ekonomi, politik dan budaya. Ini adalah proses perubahan dunia akibat daripada kesan penciptaan teknologi maklumat dan komunikasi baru. Kekaburan batas geografi mengimplikasikan perubahan dalaman, skala penghasilan barangan dan khidmat. Pembahagian global bagi kerja dan kuasa, saiz dan keluasan serta sifat pasaran, dan perdagangan dunia turut berubah. Di samping itu, penyebaran berita, maklumat dan budaya material serta bukan material turut menghadapi perubahan. Meskipun ini adalah satu kemajuan, ia akan meletakkan sesuatu masyarakat yang dominan iaitu masyarakat negara maju menguasai dunia tanpa sempadan ini. Masyarakat negara sedang membangun pula akan terpinggir lantas mencetuskan ketidakseimbangan sosial, ekonomi dan politik. Ini memberi implikasi bahawa negara-negara sedang membangun harus berupaya untuk berdaya saing dengan negara-negara lain.
Di samping itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa perhubungan dunia, bahasa ilmu dan sains sejagat yang amat penting, khusunya bagi sesebuah negara dan masyarakat yang ingin
mencapai kemajuan dan pembangunan yang pesat. Di sini, kepentingan bahasa Inggeris sangat
ditekankan oleh bekas Perdana Menteri kita di Malaysia. Dalam diaglognya dengan para
akademik daripada pelbagai universiti di Malaysia pada 9 Julai 1992, Tun Seri Dr Mahathir
Mohamad menekankan bahawa setiap warganegara Malaysia yang berpendidikan harus
mempunyai kecekapan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Menurut beliau,
kemahiran dalam bahasa Inggeris merupakan satu syarat iaitu untuk mencapai wawasan 2020
untuk membangunkan negara Malaysia kepada sebuah negara industri yang maju. (Asmah Haji
Omar,1994).
Pendidikan sains di negara kita telah menjadi semakin penting, Lebih-lebih lagi negara
kita ingin mencapai status negara maju seperti dalam Wawasan 2020 yang disarankan oleh Tun
Mahathir Mohamad dijadikan sebagai matlamat negara pada masa akan datang sejak tahun 1991.
Antara wawasan yang disarankan adalah mewujudkan masyrakat yang saintifik, progresif,
inovatif dan penyumbang kepada kemajuan saintifik pada masa kini dan masa hadapan (Hussein
Ahmad,1992). Justeru, negara kita perlu mula mengorak langkah memasuki era serba sains dan
teknologi pada masa hadapan.